Sunday 1 February 2015

Sejarah Sekolah

Tapak sekolah ini dahulunya merupakan kawasan paya nipah. Bila air laut pasang kawasan ini akan dipenuhi air. Pihak kerajaan telah membangunkan kawasan ini dan dijadikan kawasan perindustrian. Kawasan paya nipah ini ditambun dan kilang-kilang dibangunkan. Kawasan Perindustrian Mak Mandin merupakan kawasan perindustrian terkenal di pinggir Bandar Butterworth Seberang Perai Pulau Pinang.

Bila pembangunan dimajukan di sesuatu kawasan, secara tidak langsung petempatan juga akan dibangunkan untuk tempat tinggal penduduk yang bekerja kerana adanya peluang pekerjaan. Bila adanya penduduk maka kerajaan perlu menyediakan kemudahan-kemudahan insfrastruktur. Oleh itu salah satu keperluan insfrastruktur untuk penduduk di sini ialah tempat belajar.

Di kawasan perusahaan ini telah pun terdapat tiga buah sekolah rendah, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil. Bagi menyediakan kemudahan belajar peringkat menengah maka sekolah menengah telah dibina di sini dan dibuka secara rasminya pada tahun 1976.

Nama Sekolah Menengah Mak Mandin dipilih kerana ia terletak di kawasan perindustrian Mak Mandin. Bangunan  sekolah ini mulanya mempunyai tiga blok sahaja iaitu blok A, blok B dan blok C serta satu bengkel kemahiran hidup. Pada tahun 1981 blok D dibina dan bangunan kilat disiapkan akhir tahun 1984. Perubahan fizikal sekolah terus berlaku pada tahun 1991, satu lagi bangunan baru tiga tingkat iaitu Blok E didirikan di tapak bangunan bengkel KH dan bangunan kilat. Pertambahan bangunan untuk dijadikan kelas-kelas perlu kerana pada masa itu jumlah pelajar semakin bertambah. Pembinaan sekolah menengah yang terdesak menyebabkan terabainya insfrastruktur sekolah iaitu padang permainan yang tidak mencukupi untuk keperluan pelajar. Kemudahan yang ada ialah gelanggang bola keranjang dan gelanggang bola jaring. Pihak sekolah terpaksa meminjam padang polis bersebelahan sekolah bagi mengadakan aktiviti pembelajaran Pendidikan Jasmani. Acara sukan tahunan pula terpaksa diadakan di padang sekolah lain dan adakalanya di padang Kelab Kilat Tenaga Nasional Perai atau Padang Kelab Sony di Bandar Seberang Jaya.

Pada permulaannya sekolah ini dibina hanya untuk memenuhi keperluan pelajar menengah rendah dari kelas peralihian hingga ke tingkatan 3. Tahun 1990 sekolah menengah atas terpaksa diadakan kerana sekolah-sekolah menengah yang berhampiran tidak ada tempat untuk menampung pelajar yang makin bertambah. Ini dapat dilihat pada kawasan penempatan yang sudah kelihatan padat.

Seperti sekolah sekolah yang lain, sekolah ini mempunyai identiti yang tersendiri yang dipaparkan dalam lencana sekolah. Warna merah, hijau dan kuning dalam lencana menunjukkan kepelbagaian kaum belajar di sini. Bentuk bulatan menggambarkan mesin yang sesuai kerana terletak di kawasan perindustrian. Moto sekolah dipaparkan dalam lencana ialah “Usaha Maju Jaya” sesuai dengan dasar kerajaan untuk memajukan Negara melalui pembangunan perindustrian.


Para pelajar yang belajar di Sekolah Kebangsaan Mak Mandin juga diberi peluang seperti mana sekolah bantuan penuh kerajaan yang lain. Terdapat ramai lepasan pelajar di sini yang telah mencapai kejayaan yang membanggakan.


No comments:

Post a Comment

Sukan Tara 2022

https://youtu.be/hr8TA2MC2OQ