Tapak sekolah ini dahulunya
merupakan kawasan paya nipah. Bila air laut pasang kawasan ini akan dipenuhi
air. Pihak kerajaan telah membangunkan kawasan ini dan dijadikan kawasan
perindustrian. Kawasan paya nipah ini ditambun dan kilang-kilang dibangunkan. Kawasan
Perindustrian Mak Mandin merupakan kawasan perindustrian terkenal di pinggir Bandar
Butterworth Seberang Perai Pulau Pinang.
Bila pembangunan dimajukan di
sesuatu kawasan, secara tidak langsung petempatan juga akan dibangunkan untuk
tempat tinggal penduduk yang bekerja kerana adanya peluang pekerjaan. Bila
adanya penduduk maka kerajaan perlu menyediakan kemudahan-kemudahan insfrastruktur.
Oleh itu salah satu keperluan insfrastruktur untuk penduduk di sini ialah
tempat belajar.
Di kawasan perusahaan ini telah
pun terdapat tiga buah sekolah rendah, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis
kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil. Bagi menyediakan kemudahan
belajar peringkat menengah maka sekolah menengah telah dibina di sini dan
dibuka secara rasminya pada tahun 1976.
Nama Sekolah Menengah Mak Mandin
dipilih kerana ia terletak di kawasan perindustrian Mak Mandin. Bangunan sekolah ini mulanya mempunyai tiga blok sahaja
iaitu blok A, blok B dan blok C serta satu bengkel kemahiran hidup. Pada tahun
1981 blok D dibina dan bangunan kilat disiapkan akhir tahun 1984. Perubahan
fizikal sekolah terus berlaku pada tahun 1991, satu lagi bangunan baru tiga
tingkat iaitu Blok E didirikan di tapak bangunan bengkel KH dan bangunan kilat.
Pertambahan bangunan untuk dijadikan kelas-kelas perlu kerana pada masa itu jumlah
pelajar semakin bertambah. Pembinaan sekolah menengah yang terdesak menyebabkan
terabainya insfrastruktur sekolah iaitu padang permainan yang tidak mencukupi
untuk keperluan pelajar. Kemudahan yang ada ialah gelanggang bola keranjang dan
gelanggang bola jaring. Pihak sekolah terpaksa meminjam padang polis
bersebelahan sekolah bagi mengadakan aktiviti pembelajaran Pendidikan Jasmani.
Acara sukan tahunan pula terpaksa diadakan di padang sekolah lain dan adakalanya
di padang Kelab Kilat Tenaga Nasional Perai atau Padang Kelab Sony di Bandar
Seberang Jaya.
Pada permulaannya sekolah ini
dibina hanya untuk memenuhi keperluan pelajar menengah rendah dari kelas
peralihian hingga ke tingkatan 3. Tahun 1990 sekolah menengah atas terpaksa
diadakan kerana sekolah-sekolah menengah yang berhampiran tidak ada tempat
untuk menampung pelajar yang makin bertambah. Ini dapat dilihat pada kawasan
penempatan yang sudah kelihatan padat.
Seperti sekolah sekolah yang
lain, sekolah ini mempunyai identiti yang tersendiri yang dipaparkan dalam lencana
sekolah. Warna merah, hijau dan kuning dalam lencana menunjukkan kepelbagaian
kaum belajar di sini. Bentuk bulatan menggambarkan mesin yang sesuai kerana
terletak di kawasan perindustrian. Moto sekolah dipaparkan dalam lencana ialah “Usaha
Maju Jaya” sesuai dengan dasar kerajaan untuk memajukan Negara melalui
pembangunan perindustrian.
Para pelajar yang belajar di
Sekolah Kebangsaan Mak Mandin juga diberi peluang seperti mana sekolah bantuan
penuh kerajaan yang lain. Terdapat ramai lepasan pelajar di sini yang telah
mencapai kejayaan yang membanggakan.